RSS

Monday 6 December 2010

Alhamdulillah.....

Dah amat lama tak update blog...orang kata macam tak ada seru.... Pada minggu lepas surat perlantikan memangku GC DG44 ICT akhirnya sampai juga. Alhamdulillah, rezeki Allah. Tahniah juga kepada Pn Nilam (GC Math) dan En Azman Kosnin (GC KH) yang sama-sama memohon dan sama2 dipantau pada awal tahun yang lalu. Menurut surat, perlantikan berkuatkuasa pada 24 Ogos 2010. Moga2 dengan gelaran baru ini, aku dapat meningkatkan lagi prestasi dan kualiti sebagai pendidik (seperti dalam sgm). Namun begitu GC masih manusia biasa, jika ada salah silap harap guru-guru lain tegur menegur secara hikmah dan ikhlas. Terima kasih atas galakkan dan kata2 semangat guru2 lain terutama Pn. Rudziah Fazil GC Sains, Pn Nursidah Abd Hamid GC BM serta barisan pentadbir TIGS. Cuti akhir tahun kali agak sibuk jugak....kena jaga SPM, membantu Fatehah (Guru Multimedia) buat video korporat sekolah, kemaskini dan rombakan portal TIGS versi ke 3, buat jadual waktu dengan Irrina, kemaskini maklumat sgm guru dan setup facebook rasmi untuk sekolah - dah siap macam kat sebelah tu... Sambil-sambil tu mengintai-intai aktiviti2 GC sedia ada untuk persiapan tahun depan.... Sambil tu kena kemaskini blog panitia ICT dan Panitia PSV. Projek belajar joomla dengan Tn Hj Hafiz dari PKG Penggaram juga nampaknye tertangguh lagi. Projek joomla tu sebenarnya untuk merealisasikan impian Pn Remi untuk mengadakan online keputusan peperiksaan dalaman. Alhamdulillah TIGS mendapat seorang lagi guru berpengalaman dalam php - Pn Rusyawati (Guru ICT yang baru). Dengan kerjasama Rusya aku yakin projek itu akan berjaya. Yakin Boleh! Oh ye projek Panitia ICT untuk 2011 pun banyak...harap2 semuanya dapat diselesaikan dan direalisasikan insyaallah....

Tuesday 18 May 2010

Sambutan 'World Information Society Day' Sempena International Day UNESCO dan Sambutan Hari Guru di UTHM


Setiap tahun tarikh 17 Mei merupakan 'World Information Society Day' sepertimana yang telah ditetapkan oleh UNESCO sebagai panduan bagi semua warga dunia menyambut dan memperingati sesuatu peristiwa atau pencapaian dalam tamadun dunia. Acara sambutan yang dijayakan bersama oleh Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik dan Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia UTHM ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran kepada semua tentang kepentingan dan peranan teknologi maklumat (ICT) terhadap kesejahteraan manusia sejagat.

Acara pembukaan dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor HEPA UTHM.

Pada sebelah petang diadakan ceramah 'Perkembangan Animasi Dalam Industri Perfileman' oleh En Mohd Zarin dari Les' Copaque Sdn. Bhd. (Penerbit Filem Animasi Upin dan Ipin).

Upin dan Ipin merupakan satu fenomena baru dalam dunia animasi Malaysia, sudah terkenal di Brunai, Indonesia dan 40 buah negara lain yang menerima siaran Astro Disney.
Sebelum itu para pelajar berpeluang melawat tapak pameran yang mempamirkan kecanggihan teknologi ICT hasil kreativiti pelajar-pelajar FTMM. Keseluruhan acara pada hari tersebut menarik dan mencapai objektif yang disasarkan.

Thursday 29 April 2010

30 Sikap Untuk Berjaya

Sikap Pertama: Ketahanan diri
Terus belajar biarpun hati anda dah mengalah/penat.

Sikap kedua: Disiplin diri
Melayan pembelajaran sebagai tanggung jawab dan bukan sebagai suatu hobi

Sikap ketiga : Minat terhadap pembelajaran
Belajar dengan perasaan positif dan gembira

Sikap keempat : Jangkaan positif
Sentiasa fikirkan kejayaan yang bakal datang

Sikap kelima : Ketenangan jiwa
Dapat memaafkan semua perasaan yang menjejaskan perasaan anda

Sikap keenam : Pembelajaran menyeluruh
Bukan hanya tumpu pada pelajaran yang anda minati sahaja

Sikap ketujuh : Ulangan bertubi-tubi
Sekadar memahami tidak mencukupi, ia perlu menjadi aset hidup

Sikap kelapan : Sikap tidak mengalah
Gagal mendapat prestasi yang baik tidak melemaskan semangat untuk terus belajar

Sikap kesembilan: Jaga diri sendiri
Tidak membandingkan kejayaan orang lain dengan prestasi diri anda

Sikap kesepuluh : Mengikut jadual belajar
Lepaskan semua perkara yang boleh mengganggu jadual ulangkaji anda

Sikap kesebelas : Cekal berjuang
Bersusah dahulu , bersenang kemudian. Tidak terpedaya oleh permainan video game. Sanggup mengenepikan permainan demi masa depan yang cerah

Sikap ke dua belas : Menjaga hidup
Tidak lupa pada keseimbangan hidup

Sikap ke tiga belas : Menjadi model
Tunjukkan contoh anda kepada adik beradik, rakan taulan

Sikap ke empat belas : Elak kesempurnaan
Melengkapkan tugasan tidak mungkin mencapai kesempurnaan

Sikap ke lima belas: Menangani perkara luar jangka
Setiap kejadian perlu ditangani dengan sabar dan tidak mencetuskan perasaan negati
Sikap keenam belas : Menghargai tekanan
Setiap tekanan adalah memberi kekuatan untuk anda

Sikap ketujuh belas : Suka berkongsi
Membantu orang lain adalah juga membantu diri sendiri

Sikap kelapan belas: Cekal mencari jawapan
Biasakan diri membuat rujukan silang pada buku yang berbeza

Sikap kesembilan belas: Suka bertanya
Untuk mendapat jawapan yang nyata dan mendalam

Sikap kedua puluh : Suka bersendirian
Menjaga diri jauh lebih penting dari melayan kawan

Sikap keduapuluh satu: Menahan penat
Setiap orang ada bateri kedua , gunanya bila perlu

Sikap keduapuluh dua : Inisiatif
Bertindak biarpun tidak disuruh

Sikap keduapuluh tiga : Jiwa berbakti
Belaajr demi kejayaan keluarga, negara

Sikap keduapuluh empat: Hutang pembelajaran
Rasa bersalah kerana gagal melengkapkan pembelajaran dan akan membayar balik hutang secepat mungkin

Sikap keduapuluh lima : Menjangkaui batasan
Belajar lebih dari apa yang orang lain mampu lakukan

Sikap keduapuluh enam: Mencabar diri sendiri
Fikirkan , adakah anda boleh lakukan lebih baik. Jika dapat, hadiahkan diri sendiri

Sikap keduapuluh tujuh : Nilai kerohanian
Jadikan pembelajaran salah satu dari ibadat hidup. Doa selalu.

Sikap keduapuluh lapan : Kasih sayang
Sayang pada diri sendiri dan tidak mengizinkan diri kalah dalam hidup

Sikap keduapuluh sembilan : Motivasi diri
Bercakap dengan diri sendiri secara positif

Sikap ketiga puluh : Kemahuan yang berkobar-kobar
Menjadikan harapan suatu kewajipan dalam hidup.


Sumber : DR. AZMAN BIN AHMAD PENOLONG PENGARAH BAHAGIAN TEKNOLOGI PENDIDIKAN NEGERI JOHOR

Tuesday 20 April 2010

Rahsia Rumah Besar...

Baru-baru ini saya telah berkesempatan (secara kebetulan) menziarahi sebuah rumah Agam (Besar 2 tingkat). Rumahnya mempunyai 8 buah bilik, dapur yang luas, rekabentuk rumah yang menarik tambahan lagi halaman rumah ini luas dan dihiasi dengan kolam-kolam ikan yang cantik. Sebenarnya sudah banyak kali saya lalu jalan tersebut dan setiap kali melalui jalan itu hati saya akan terdetik 'Wah besarnya rumah ni...siapa yang duduk agaknya ye..' Tak sangka akhirnya saya dapat masuk ke rumah itu dan berkenalan dengan empunyanya.

Rupa-rupanya rumah tersebut dimiliki oleh pasangan guru yang telah bersara. Kala ini hanya mereka berdua mendiami rumah itu dimana 7 orang anak beliau semuanya telah menetap di bandar teruama KL. Di dinding bahagian ruang tamu rumah itu terpampang gambar keluarga bahagia tersebut yang menunjukkan kejayaan beliau dalam mendidik anak sehingga kesemua anak-anaknya berjaya. Anak sulung beliau merupakan lulusan akauntan dan sekarang berjaya sebagai seorang ahli perniagaan dan mendapat gelaran Dato'. Ada beberapa lagi anak beliau yang berpelajaran tinggi dan berjaya dalam perniagaan masing-masing. Yang bungsu sedang belajar di sebuah universiti di Selangor. Salah seorang anak beliau pula berjaya sebagai seorang doktor gigi. Itulah seba sedikit apa yang diketahui tentang keluarga bahagia dan berjaya tersebut.

Saya rasa teruja dan ingin menjadikan pesara guru ini sebagai inspirasi dalam membesarkan anak-anak. Kejayaan kesemua anak-anak beliau sudah pasti hasil daripada didikkan yang sempurna daripada mereka. Disiplin, doa, perhatian, pengurusan rumahtangga yang baik dan minda yang sentiasa positif mungkin menjadi resepi kejayaan mereka berdua.

Tuesday 30 March 2010

EQ dan IQ - yang mana penting ?



Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menjadi matlamat semua sekolah-sekolah di Malaysia iaitu untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani jelas menunjukkan kepentingan aspek kecerdasan emosi selain aspek-aspek yang lain. Namun begitu situasi pendidikan hari ini nampaknya lebih menonjolkan aspek intelek dimana ianya seolah-olah berorientasikan peperiksaan. Semua guru, ibu bapa, pelajar dan masyarakat melihat kejayaan dalam peperiksaan merupakan kayu ukur untuk melihat kejayaan seseorang pelajar atau murid. Bagaimana dengan aspek rohani, emosi dan jasmani?
Menurut kajian Mayer, Caruso dan Salovey (1999) didapati dan dibuktikan bahawa kecemerlangan individu sebenarnya bergantung kepada kecerdasan emosinya. Orang yang memiliki kecerdasan intelek menjadi lebih cemerlang apabila beliau juga turut memiliki kecerdasan emosi kerana kecerdasan intelek sahaja tidak dapat menjamin kecemerlangan individu itu apabila berhadapan dengan situasi realiti.
Sebenarnya kebolehan mengenali dan keupayaan mengendalikan emosi adalah salah satu ciri kedewasaan dan kematangan peribadi dan seterusnya menunjukkan tahap kecerdasan emosi individu tersebut. Justeru itu jika seorang guru yang tidak mengenali dan tidak dapat mengendalikan emosinya sendiri, tidak dapat bertoleransi, tidak mahu berunding secara profesional dan logik, suka menuduh, suka menyalahkan, menjatuhkan, memalukan, malah sanggup mengkhianati orang lain termasuk dalam kalangan orang yang memiliki kecerdasan emosi (EQ) yang rendah.

Bersambung...

* Fakta di atas diolah daripada buku 'Kepimpinan & Penambahbaikkan Sekolah' tulisan Abdul Ghani.

Friday 5 March 2010

Pengalaman Dipantau Oleh Pihak Jemaah Nazir....

Sekejap sahaja sudah sampai ke bulan Mac...orang kata kalau banyak kerja kita akan rasa masa begitu cepat berlalu... Oh ye kali ini saya ingin berkongsi mengenai pengalaman saya dipantau oleh Jemaah Nazir dari Putrajaya....
Kalau sebut aje Jemaah Nazir, kecut perut cikgu-cikgu tak tau lah kenapa, tapi itulah realitinya. Namun begitu setelah saya dipantau baru-baru ini, barulah saya dapat rasakan sebenar benarnya pengalaman itu. Tak semua orang berpeluang dipantau jadi seharusnya bersyukur kerana ianya salah satu cara yang paling baik untuk guru-guru mengenalpasti sejauh mana kualiti anda sebagai guru. Secara ringkasnya saya akan menyenaraikan bagaimana pegawai-pegawai dari Jemaah Nazir akan "melihat" orang yang dipantau.
  • Buku rekod - lengkap dan guru memahami setiap apa yang dibuat dan dicatat umpamanya bagaimana konsep refleksi yang betul dan maklumat mengenai headcount.
  • Buku-buku latihan pelajar - disemak dengan baik.
  • Projek-projek yang telah dilaksanakan oleh pelajar.
  • Semua sijil-sijil yang asal termasuk surat-surat berkaitan dengan penglibatan guru - seperti surat jemputan memberi ceramah, menghadiri seminar dll.
  • Bahan-bahan sokongan P&P - modul, ABM, program-program yang telah dilaksanakan untuk meningkatkan pencapaian pelajar, aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan dalam Panitia dll.
  • Bukti-bukti sumbangan yang telah dibuat kepada sekolah dan peringkat daerah.
  • Fail Panitia, Fail Persatuan yang dipegang.
  • Kajian tindakan yang telah dibuat.
  • Memantau proses P&P (dalam kelas).

Apa yang disebut di atas adalah merupakan sebahagian misteri yang dipegang oleh pihak Jemaah Nazir. Saya dapat merasakan betapa pihak Nazir sedaya upaya melaksanakan tugas mereka agar mereka dapat berlaku adil agar keputusannya nanti benar-benar berpihak kepada yang layak. Dalam masa yang sama, pihak nazir juga dengan penuh hikhmah cuba memberikan teguran dan panduan agar guru dapat memahami tahap kualiti kerja dan sikap seperti yang dikehendaki.

Apa yang perlu diingatkan ialah segala apa aktiviti, program, perlaksanaan, surat dll perlulah didokumentasikan agar mudah bagi pihak nazir dan mudah juga bagi pihak guru apabila dipantau. Terima kasih En Zakaria dan En. Selvarajoo yang telah datang memantau saya tempohari. Satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan!

Saturday 27 February 2010

Pengajaran Berkesan

Sebagai seorang guru sudah pasti matlamat utamanya ialah menghasilkan para pelajar yang berkualiti dari segi pencapaian akademik dan juga perkembangan sahsiah diri. Untuk mencapainya, guru perlu melaksanakan tugas utamanya iaitu mengajar dengan berkesan. Apa maksud mengajar dan apa pula maksud pengajaran berkesan? Di bawah ini disertakan antara definisi dan sedikit penerangan mengenai perkara tersebut berdasarkan buku Kepimpinan & Penambahbaikan Sekolah tulisan Abdul Ghani Abdullah.
Mengajar sebenarnya bermaksud menyampaikan ilmu pengetahuan, maklumat, memberi galakan, membimbing, meningkatkan kemahiran, dan keyakinan serta menanam nilai-nilai murni yang luhur kepada para pelajar.
Manakala pengajaran yang berkesan bermaksud pengajaran yang membolehkan pelajar memperoleh kemahiran, pengetahuan dan sikap yang ditetapkan. Pengukuran atau penilaian mengenai keberkesanan pengajaran tidak dapat dibuat berdasarkan apa yang dilakukan oleh guru di dalam kelas sahaja, tetapi perlu berdasarkan kemampuan pelajar melakukan sesuatu dan pendapat mereka selepas menerima pengajaran daripada guru.

Pada asasnya, pengajaran berkesan bergantung pada:

  • Kepakaran guru pada bahan pengajaran
  • Keperluan bahan pengajaran - bahan-bahan yang digunakan untuk membantu melicinkan proses P&P dan meningkatkan kefahaman pelajar pada apa yang diajar oleh guru.
  • Pedagogi, strategi dan kaedah pengajaran
  • Kemahiran komunikasi

Faktor-faktor lain yang menyumbang ke arah pengajaran berkesan:

  • Matlamat dan sasaran pengajaran guru setiap hari
  • Matlamat dan sasaran pencapaian akademik sekolah
  • Sikap guru dan sikap pentadbir sekolah
  • Kemahiran guru dan kemahiran pentadbir sekolah
  • Motivasi guru dan motivasi pentadbir sekolah
  • Misi dan visi guru serta misi dan visi pentadbir sekolah
  • Etika guru dan etika pentadbir sekolah
  • Keadaan dan suasana persekitaran sekolah
  • Kemahiran berkomunikasi guru dan pentadbir sekolah
  • Pemikiran guru dan pemikiran pentadbir sekolah.